Suspek dibawa kes bunuh kanak-kanak yang maut dicampak dalam sungai di Kampung Padang semalam, dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pagi ini untuk direman.

KOTA TINGGI – Seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh selepas dipercayai mencampak seorang kanak-kanak ke dalam sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili, semalam, dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini pagi ini untuk mendapatkan perintah reman.

Suspek berusia 37 tahun, juga bapa saudara mangsa dilihat tenang ketika tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan diiringi anggota polis.

Sebelum itu suspek dibawa dari Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk pemeriksaan kesihatan sebelum ke mahkamah.

Suspek ditahan reman tujuh hari, sehingga 28 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah reman itu dikeluarkan Hakim Hafizah Abdul Rajak di Mahkamah Sesyen, Kota Tinggi, selepas permohonan dibuat oleh pegawai penyiasat.

Semalam portal ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dipercayai dicampak ke dalam sungai oleh suspek di Kampung Padang kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, suspek dipercayai mencampak mangsa ke dalam sungai, sebelum mengamuk dan mengejar abangnya yang juga bapa mangsa, berusia 40 tahun, dengan bersenjatakan parang.

Sepasukan polis kemudian ke lokasi kejadian dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan.

Suspek kemudian berjaya diberkas dan siasatan mendapati, lelaki berkenaan dipercayai menghadapi masalah kesihatan mental.

Jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sayang, Tanjung Sedili selepas urusan bedah siasat selesai di Hospital Pasir Gudang, pagi ini. MalaysiaGazette

Lelaki didakwa amuk dengan parang, campak budak dalam sungai hingga maut ditahan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here