Suasana di perkarangan pintu masuk Penjara Kajang ketika tinjauan mengenai perkembangan terkini terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang telah dibenarkan untuk menjalani hukuman penjara di rumah, ketika di Penjara Kajang. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2026.

KAJANG – Masih tiada lagi tanda-tanda pergerakan keluar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari Penjara Kajang untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah, selepas lima hari pengumuman berkenaan dibuat Jumaat lalu.

Kru MalaysiaGazette yang ‘berkampung’ Penjara Kajang mendapati, suasana tenang serta terkawal di perkarangan hadapan penhara tersebut.

Selain MalaysiaGazette, beberapa pengamal media lain turut sama menunggu di sini sejak jam 9 pagi tadi.

Dari pagi sehingga jam 2 petang tadi, tiada kenderaan kenamaan yang kelihatan kecuali pergerakan harian kenderaan logistik, selain keluar masuk kakitangan Jabatan Penjara.

Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu, setakat hari ini bayaran denda sebanyak RM50 juta oleh Najib bagi menjalani baki hukuman penjara tahanan rumah masih belum dilunaskan.

“Sehingga kini tiada lagi perkembangan mengenai bayaran denda.

“Jabatan Penjara dijangka mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah beliau (Najib). SOP ini memperincikan aspek lawatan, kawalan serta pemantauan pergerakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Suasana di perkarangan pintu masuk Penjara Kajang ketika tinjauan mengenai perkembangan terkini terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang telah dibenarkan untuk menjalani hukuman penjara di rumah, ketika di Penjara Kajang. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2026.

 

Mengenai kutipan Tabung Solidariti Najib Razak, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan sehingga Sabtu lalu, jumlah yang terkumpul sudah mencecah RM1 juta.

Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata dilaporkan berkata, ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Ujarnya, Najib hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara.

Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Kes yang telah disabitkan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd manakala kes yang masih dalam perbicaraan ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here