KUANTAN – Satu lagi kes pukul pelajar lelaki berusia 14 tahun dilaporkan berlaku di sebuah sekolah berasrama di Bukit Ibam, Rompin baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayub berkata, kes pertama dilaporkan berlaku pada 12 September lepas membabitkan dua pelajar lelaki Tingkatan Dua di sekolah sama.
“Dalam kes pertama, lima pelajar lelaki berusia 16 tahun dan 17 tahun telah ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes itu.
“Manakala bagi insiden kedua pula, enam pelajar lelaki berusia 16 tahun dan 17 tahun telah ditahan di mana empat daripada mereka didapati turut terlibat dalam kes pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pengurusan, Polis Diraja Malaysia Kontinjen Pahang.
Menurut Azry Akmar, kedua-dua kes itu masih dalam siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dijangka akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya hari ini untuk tindakan selanjutnya.
“Polis kini sedang menunggu laporan prestasi dan disiplin semua mangsa dan suspek terlibat daripada pihak sekolah untuk membantu siasatan,” jelasnya.
Beliau dalam masa sama turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan pihak sekolah cuba menyembunyi dan melindungi kejadian itu daripada pihak umum.
Katanya, pihak pengurusan sekolah berkenaan memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berlangsung. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Didakwa ponteng kuliah agama, dua pelajar Tingkatan 2 `dibantai’ 5 senior
















