Ab Rauf ketika ditemui pemberita selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

MELAKA – Barisan Nasional (BN) masih belum mendedahkan sama ada akan bergerak solo atau bersama parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa esok, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ditanya sama ada ‘gelombang biru’ yang sering disebutnya sebelum ini membawa maksud BN akan bergerak solo, Pengerusi BN Melaka itu berkata, perkara itu akan dijelaskan selepas rundingan dengan parti-parti berkaitan selesai.

“Tak, itu saya beritahu nanti bila kita dah putuskan rundingan semua,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan pembubaran DUN Melaka di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Ab Rauf berkata, pihaknya akan mengadakan rundingan dengan mana-mana parti yang terlibat selepas proses pembubaran DUN selesai, selain menilai tawaran yang dikemukakan.

Pada 11 September lalu, Ab Rauf turut memaklumkan BN akan menggunakan formula BN Plus pada PRN Melaka, namun menegaskan rundingan dengan mana-mana parti hanya dibuat selepas DUN dibubarkan.

BN sebelum ini memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN pada PRN Melaka 2021, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

DUN Melaka akan dibubarkan berkuat kuasa esok sekali gus membuka laluan kepada PRN Melaka dan tarikh pilihan raya seterusnya akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here