Mayat Zamberi Angah ditemui pasukan pencari selepas dipercayai diserang harimau belang di ketika mencari rotan di kawasan hutan berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput. Foto FB Datuk Zolkafly Harun

SUNGAI SIPUT – Seorang lelaki Orang Asli maut dipercayai diserang harimau belang ketika mencari rotan di kawasan hutan berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor di sini Ahad lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Zolkafly Harun berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, Zamberi Angah, bersama rakannya berada di kawasan hutan yang terletak dalam Hutan Simpan Korbu.

Beliau berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerima aduan berhubung kejadian itu kira-kira 4.30 petang, pada Ahad sebelum bergegas ke lokasi.

“Pasukan PERHILITAN kemudiannya bertemu dengan anak mangsa sebelum operasi pencarian bersama dimulakan kira-kira  6.30 petang.

“Operasi berkenaan membabitkan PERHILITAN, anggota Balai Polis Lintang, RELA, kira-kira 30 penduduk kampung serta pekerja balak,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya pada malam tadi.

Menurut Zolkafly, mangsa ditemukan sekitar 6.58 petang di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak kira-kira 200 meter dari lokasi dipercayai menjadi lokasi mangsa diserang di mana kesan tapak harimau belang serta beberapa petunjuk lain turut ditemukan di sekitar kawasan kejadian.

“Sebagai wakil rakyat kawasan, saya menerima berita ini dengan amat mendukacitakan.

“Kejadian yang berlaku dalam kawasan Hutan Simpan Korbu ini amat memilukan dan pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga serta seluruh masyarakat setempat,” katanya.

Zolkafly turut menggesa agar tindakan pemantauan serta kawalan dapat dilaksanakan dengan segera demi menjamin keselamatan penduduk, khususnya masyarakat Orang Asli yang bergantung kepada hasil hutan untuk meneruskan kehidupan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memasuki kawasan berkenaan buat sementara waktu, selain sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here