LANGKAWI – Perjalanan pulang dua pelajar dari sebuah sekolah menengah di sini bertukar tragedi apabila mereka maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Nyior Chabang hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 1.51 tengah hari, kedua-dua mangsa berusia 16 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 yang dinaiki kedua-dua mangsa dan tiga buah kereta.
“Berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari sekolah dari arah Simpang Kenyum menuju Nyior Chabang.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai sedang memotong dua buah kereta yang bergerak sehala sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta dari arah hadapan.
“Impak pelanggaran menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tiga pemandu kereta yang terbabit tidak mengalami kecederaan fizikal namun berada dalam keadaan trauma.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha di sini untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
“Kita juga memohon orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) di kawasan sekitar tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak dan memastikan kenderaan digunakan, khususnya motosikal, ditunggang oleh mereka yang mempunyai lesen memandu sah serta mematuhi peraturan jalan raya.
“Jangan sesekali membiarkan anak-anak menunggang dalam keadaan yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya. – MalaysiaGazette
















