KUALA LUMPUR – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas penyandang Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.
Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan malam ini berkata, perkara berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri masing-masing terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
Jelasnya, ia sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
“Bagi pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu pula, perlu dinyatakan bahawa pelantikannya hendaklah mematuhi Perkara 37 UUTKNS iaitu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan,” katanya.
Hari ini, kemelut pentadbiran Negeri Sembilan memasuki perkembangan baharu apabila MMKN Negeri Sembilan memutuskan untuk menggantung tugas SUK, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Khas MMKN yang diadakan hari ini.
Menurutnya, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali dinamakan untuk menjalankan tugas SUK sehingga Setiausaha Kerajaan Negeri baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Sementara itu, tugas memberikan nasihat perundangan akan dilaksanakan peguam bela dan peguam cara, Fahmi Adilah sehingga Penasihat Undang-Undang Negeri baharu dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara.
Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika kedudukan pentadbiran negeri menjadi pertikaian susulan keputusan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan anggota MMKN.
Ismail sebelum ini mempertikaikan tindakan tersebut dan menegaskan barisan MMKN sedia ada masih sah serta akan terus menjalankan tugas seperti biasa. – MalaysiaGazette
















