PARIS – Corak cuaca El Nino yang kuat pada tahun ini berpotensi menyebabkan tambahan 451,000 kematian berkaitan haba di seluruh dunia sehingga Februari depan apabila fenomena itu meningkatkan suhu global, menurut unjuran yang diterbitkan pada Rabu.
Fenomena pemanasan itu yang diisytiharkan pada Jun lalu dan dijangka memuncak lewat tahun ini, berpotensi menjadi El Nino paling kuat pernah direkodkan, sekali gus memburukkan lagi kesan perubahan iklim akibat aktiviti manusia.
Anggaran Climate Impact Lab Universiti Chicago mendapati, negara membangun akan paling teruk terjejas akibat kematian berkaitan haba bagi tempoh Jun hingga Februari.
Wilayah Sahel di Afrika dijangka mencatat tambahan 66,800 kematian akibat haba berbanding tahun biasa, dengan hampir separuh daripada jumlah itu berlaku di Nigeria sahaja.
Sebanyak 19,300 kematian tambahan dijangka berlaku di Indonesia, manakala 19,400 lagi di Filipina, Vietnam, Thailand dan Kemboja.
India pula diunjurkan mencatat tambahan 15,800 kematian, manakala Brazil sebanyak 13,300.
Penyelidik mengunjurkan suhu daratan global akan berada 1.2 darjah Celsius lebih tinggi daripada paras normal dalam beberapa bulan akan datang, sebahagian besarnya disebabkan El Nino, sekali gus menyebabkan 44 peratus lebih banyak hari dengan suhu amat panas berbanding tahun biasa.
Bagi menghasilkan unjuran itu, Climate Impact Lab menggunakan kajian mengenai hubungan antara suhu dan lebihan kematian di 24,378 wilayah dengan mengambil kira iklim serta tahap kerentanan tempatan.
Penemuan berkenaan kemudian digabungkan dengan ramalan suhu jangka panjang untuk menganggarkan jumlah lebihan kematian yang mungkin berlaku akibat El Nino berbanding purata bagi tempoh 1996 hingga 2025.
Laporan berkenaan diterbitkan sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa El Nino merupakan ancaman besar terhadap kesihatan global.
Penyelidik Climate Impact Lab berkata unjuran itu boleh membantu kerajaan dan organisasi kemanusiaan mengambil langkah pencegahan bagi melindungi orang ramai, termasuk mengeluarkan amaran cuaca panas, menyediakan pusat penyejukan dan stesen bekalan air.
“Laporan ini membolehkan pembuat keputusan mengenal pasti dengan tepat lokasi tindakan kecemasan boleh diambil sekarang bagi menyelamatkan puluhan ribu nyawa dalam beberapa bulan akan datang,” kata pengasas bersama Climate Impact Lab, Michael Greenstone. – Agensi
















