GEORGE TOWN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian dua lelaki didakwa mengheret seekor anjing menggunakan motosikal di kawasan Batu Lancang di sini, semalam.
Pengarahnya, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Kami sedang menjalankan siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 21 saat memaparkan dua lelaki mengheret sekor anjing menggunakan motosikal.
Penyelamat haiwan bebas, David Yim berkata, seorang wanita melihat kejadian itu kemudian meminta kedua-dua lelaki itu berhenti, namun mereka didakwa terus mengheret haiwan terbabit sebelum meninggalkan lokasi.
“Anjing itu dipercayai mengalami kecederaan serius.
“Kedua-dua lelaki dan motosikal terbabit kemudian menghilangkan diri dari kawasan tersebut.
“Wanita berkenaan turut menyerahkan gambar dan video yang dirakam ketika kejadian selain kami telah membuat laporan berhubung kepada JPV,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sekiranya unsur kekejaman terhadap haiwan dapat dibuktikan. – MalaysiaGazette
















