KUALA LUMPUR – Golf Amal Universiti Malaysia Kelantan (UMK) 2026 bukan sahaja menjadi platform mengumpul dana kebajikan pelajar malah membuka ruang kepada penerokaan kerjasama strategik jangka panjang yang berpotensi mencapai nilai keseluruhan sehingga RM60 juta.
Golf Amal UMK 2026 yang julung kali dianjurkan itu menerima tajaan utama dari AEI Capital Group dan tajaan korporat oleh Agrobank dan DXN Berhad sekali gus memperlihatkan penglibatan sektor korporat dalam menyokong agenda kebajikan dan pembangunan pelajar UMK.
Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra berkenan berangkat menyertai golf amal yang berlangsung di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort, Pahang baru-baru ini.

Baginda yang juga Pro-Canselor UMK dan Penaung Golf Amal UMK 2026 turut berkenan melakukan pukulan mula (tee-off) pukul 8.30 pagi.
Seramai 60 peserta terdiri daripada wakil industri, alumni, pengurusan tertinggi universiti serta rakan strategik UMK menyertai program berkenaan.
Menurut Naib Canselor UMK, Datuk Dr. Arham Abdullah, penganjuran golf amal itu merupakan platform untuk memperkukuh jaringan strategik antara UMK, NGO dan sektor korporat dalam menyokong kebajikan serta pembangunan pelajar.
“Penganjuran ini bukan sekadar sebuah golf amal, tetapi merupakan platform untuk memperkukuh jaringan strategik antara UMK, NGO dan sektor korporat dalam menyokong kebajikan serta pembangunan pelajar,” katanya dalam kenyataan.
Bagi penganjuran Golf Amal UMK 2026, AEI Capital Group merupakan penaja utama dan Agro Bank serta DXN Berhad antara badan korporat yang menyokong pelaksanaan program berkenaan.

Sokongan penaja itu adalah bagi menjayakan golf amal yang memberi fokus kepada usaha mengumpul dana kebajikan pelajar serta memperkukuh penglibatan pihak industri dan NGO dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Golf amal itu turut menjadi ruang pertemuan antara universiti, industri, alumni dan rakan strategik dalam meneroka bentuk kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan.
Penglibatan AEI Capital Group selaku penaja utama membuka ruang kepada cadangan kerjasama strategik jangka panjang bersama UMK dan Yayasan Sayang Malaysia yang mempunyai potensi nilai keseluruhan sehingga RM60 juta.
Nilai berkenaan bukan merupakan nilai penajaan Golf Amal UMK 2026 sebaliknya merujuk kepada potensi kerjasama strategik yang dicadangkan bagi tempoh beberapa tahun.
Daripada jumlah tersebut, sehingga RM10 juta dicadangkan bagi program pendidikan dan pembangunan bakat pelajar UMK sepanjang tempoh 10 tahun.
Antara inisiatif yang dicadangkan termasuk Biasiswa AEI untuk pelajar prasiswazah UMK berprestasi Kelas Pertama, Anugerah Kecemerlangan Akademik AEI–UMK, program latihan industri, pementoran, pembangunan kepimpinan dan pembangunan kerjaya.
Manakala sehingga RM50 juta lagi dicadangkan sebagai potensi modal pertumbuhan bagi syarikat peringkat pertumbuhan yang diasaskan oleh alumni UMK melalui cadangan AEI–UMK Growth Capital Initiative.
Inisiatif itu bertujuan membuka akses kepada modal pertumbuhan serta jaringan industri, pelabur dan rakan strategik bagi membantu syarikat alumni melakukan pengembangan operasi, pasaran, teknologi, kapasiti dan pengantarabangsaan.
Cadangan kerjasama berkenaan memperlihatkan potensi untuk menjadikan golf amal sebagai titik mula kepada hubungan universiti-industri yang lebih luas merangkumi kebajikan pelajar, pendidikan, pembangunan bakat, latihan industri, kerjaya dan keusahawanan.
Pendekatan itu turut dicadangkan menerusi konsep UMK-to-Enterprise Growth Pipeline iaitu laluan pembangunan daripada pendidikan dan kecemerlangan akademik kepada latihan industri, keusahawanan dan seterusnya akses kepada modal pertumbuhan bagi syarikat alumni yang memenuhi kriteria.
Bagaimanapun, potensi RM60 juta tersebut masih merupakan cadangan kerjasama dan sokongan jangka panjang. Nilai sebenar, struktur, tempoh pelaksanaan, kriteria kelayakan, KPI, proses due diligence dan kelulusan pihak berkaitan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Golf Amal UMK 2026 pada masa sama memberi isyarat bahawa kerjasama universiti dengan sektor korporat boleh berkembang daripada sokongan kepada sesuatu program kepada jaringan strategik yang lebih luas untuk manfaat pelajar dan alumni. – MalaysiaGazette
















