Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar

KUALA LUMPUR – Pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah sah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, tindakan itu dibuat berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang memperuntukkan seseorang Exco selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenankan Yang di-Pertuan Besar.

Katanya, warta pembatalan pelantikan berkenaan berkuat kuasa mulai 20 September lalu dan merupakan prosedur yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri.

“Warta ini merupakan prosedur tetap.

“Berdasarkan warta Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Exco selain daripada Menteri Besar memegang jawatannya selama diperkenan oleh Tuanku Muhriz,” katanya kepada Sinar Harian hari ini. 

Menurut beliau, pembatalan itu membabitkan 10 Exco yang sebelum ini mengangkat sumpah serta ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos lalu.

Kesemua mereka ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Peguam Negara berkata, pembatalan pelantikan itu dibuat selepas Tuanku Muhriz menarik balik perkenan terhadap pelantikan berkenaan susulan tindakan Exco terbabit yang didakwa bercanggah dengan ikrar taat setia mereka.

Pada 20 September lalu, Istana Negeri Sembilan memaklumkan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua Exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Mohd Dusuki berkata, pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) juga sebelum ini jelas bahawa Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.

Dalam perkembangan berkaitan, AGC turut menjelaskan, Exco tidak mempunyai kuasa dari sudut perundangan untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri kerana kedua-dua jawatan berkenaan tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Pengesahan terbaru Peguam Negara itu berlaku ketika pertikaian mengenai kesahan pembatalan pelantikan Exco terus menjadi isu utama dalam kemelut pentadbiran Negeri Sembilan.

Sebelum ini, terdapat pandangan berbeza daripada pihak kerajaan negeri dan beberapa pihak berkepentingan berhubung tafsiran Perkara 38(5), khususnya sama ada pembatalan pelantikan Exco memerlukan nasihat Menteri Besar.

Namun, Peguam Negara menegaskan peruntukan berkenaan menetapkan tempoh seseorang Exco memegang jawatan adalah selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here