Fadlina hadir menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa pagi ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit segera terhadap aspek keselamatan dan pematuhan tatacara di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan susulan pemergian seorang murid Tingkatan Dua.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, audit itu bagi mengenal pasti sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan dalam aspek keselamatan dan tatacara di sekolah berkenaan.

Pada masa sama, beliau menegaskan tiada pihak akan dilindungi sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang.

“Saya telah mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit dengan segera bagi mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan.

“Tiada pihak akan dilindungi sekiranya didapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Fadhlina berkata, beliau pagi ini hadir ke sekolah berkenaan bagi bertemu warga sekolah, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian dan tindakan yang telah diambil.

Katanya, siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan PDRM dan beliau dimaklumkan seorang pelajar telah ditahan bagi membantu siasatan.

“KPM dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fadhlina menzahirkan dukacita atas pemergian murid berkenaan serta merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Beliau berkata, beliau turut bertemu ahli keluarga Allahyarham di hospital bagi menyampaikan sendiri rasa simpati atas kehilangan yang amat menyayat hati itu.

KPM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga Allahyarham serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian berkenaan.

“Dalam saat yang sukar ini, keutamaan kita adalah keluarga Allahyarham. KPM akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan PDRM dan memastikan kebajikan warga sekolah terus terpelihara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here