Pengarah Pusat Pengajian Ketamadunan Melayu-Islam (CMICS), Datuk Prof. Dr. Ahmad Murad Mohd Noor Merican menyampaikan ucapan pada majlis Musyawarah Nasional Membongkar Polemik Tanah Melayu di MITC, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang mewujudkan satu akta khusus bagi menangani tindakan yang mencabar asal usul orang Melayu serta kedudukan mereka sebagai pribumi di Malaysia.

Pengarah Pusat Pengajian Ketamadunan Melayu-Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, peruntukan berkenaan perlu diwujudkan sebagai instrumen khusus dan bukan melalui Akta Hasutan 1948.

Beliau berkata, akta berkenaan boleh dinamakan Akta Anti Cabaran Pemperibumian Melayu, bagi menangani pihak yang mempertikaikan asal usul Melayu dan kedudukan Melayu sebagai pribumi di negara ini.

“Saya mencadangkan, dan ini telah saya lontarkan dalam beberapa bulan lalu, untuk mewujudkan satu akta khusus, bukan Akta Hasutan, tapi Akta Anti Cabaran Pemperibumian Melayu di Malaysia.

“Dalam erti kata lain, satu akta yang boleh digunakan untuk orang yang mencabar asal usul Melayu, orang yang mencabar asal usul pemperibumian Melayu dan Melayu sebagai pribumi di Malaysia secara khusus,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga pengasas Musyawarah Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas majlis Musyawarah Nasional Membongkar Polemik Tanah Melayu di MITC, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2026.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan rumusan sebagai antara empat panel pada Musyawarah Nasional: Membongkar Polemik Tanah Melayu 3.0 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Ahmad Murad berkata, cadangan akta itu tidak hanya ditujukan kepada bukan Melayu, malah turut meliputi mana-mana orang Melayu yang mempersoalkan kewujudan serta kedudukan mereka di Malaysia.

Menurutnya, isu berkenaan perlu dilihat dari sudut sejarah dan sosiologi, selain tidak dijadikan semata-mata sebagai doktrin politik.

“Ini bukan hanya maksud saya digunakan untuk orang bukan Melayu, tapi juga ramai orang Melayu yang telah mempersoalkan kewujudan mereka di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Murad berkata, Malaysia berdepan keadaan yang menunjukkan warganegara asal masih mempertikaikan kedudukan pribumi selepas 69 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Beliau turut membandingkan keadaan itu dengan beberapa negara lain termasuk Australia, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) dalam konteks pengiktirafan terhadap masyarakat asal.

“Tidak ada negara di dunia ini di mana warganegara asal dicabar, kecuali mungkin tiga negara; Australia, yang tidak mengiktiraf, masih lagi tidak mengiktiraf orang Asli Australia; Jepun, yang 50 tahun kebelakangan telah mengiktiraf orang Asli Jepun tetapi tidak mengangkat orang Asli Jepun dan satu lagi, Amerika Syarikat.

“Tapi di Malaysia, kita dapati bahawa warganegara selama 69 tahun mencabar pribumi. Dan perlu ada akta,” katanya.

Beliau berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan bagi memastikan kedudukan sejarah dan identiti pribumi Melayu terus dipelihara. – MalaysiaGaazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here