Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican

KUALA LUMPUR – Seorang peguam berpendirian, Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan mempunyai tafsiran yang sama dengan Fasal 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, Perkara 43(5) menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk melantik dan menamatkan khidmat Ahli Jemaah Menteri semasa Kerajaan Persekutuan sedang berjalan.

Menurut beliau, Fasal 38(5) UUTKNS pula menyatakan kuasa Yang di-Pertuan Besar (YDP) untuk melantik dan menamatkan khidmat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semasa kerajaan negeri sedang berjalan.

Hasnal Rezua yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang berpendirian, bahasa yang digunakan dalam kedua-dua Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri adalah sama menjadikan operasinya juga serupa.

“Maka jika pada hemat Peguam Negara bahawa pembatalan pelantikan MMKN yang dibuat oleh YDP tanpa nasihat Menteri Besar adalah sah menurut Fasal 38(5) maka menurut tafsiran yang sama YDPA boleh menamatkan khidmat mana-mana menteri tanpa nasihat Perdana Menteri.

“Dalam sejarah Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan oleh Persekutuan Malaysia, inilah kali pertama Peguam Negara membuat tafsiran YDPA boleh memecat menteri secara terus.

“Syabas! Dah alang-alang boleh, harapnya YDPA pecat je lah menteri-menteri yang tak berfungsi, yang dibenci rakyat, yang melucukan dan yang punya sejarah biadab kepada Raja-Raja Melayu,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar bahawa pembatalan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah sah mengikut UUTKNS.

Mohd. Dusuki dalam kenyataan hari ini menjelaskan, Perkara 38(5) memperuntukkan seseorang Exco selain Menteri Besar memegang jawatan selama mana yang diperkenan YDP.

Peguam Negara berkata, pembatalan pelantikan itu dibuat selepas Tuanku Muhriz menarik balik perkenan terhadap pelantikan berkenaan susulan tindakan Exco terbabit yang didakwa bercanggah dengan ikrar taat setia mereka.

Kesemua mereka ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here