KUALA LUMPUR – Isu buli bukan sahaja menyedihkan kerana kesannya terhadap mangsa, malah lebih membimbangkan apabila ada keluarga yang mendakwa aduan mereka tidak diberi perhatian sewajarnya hanya kerana datang sebagai ‘orang biasa’.
Presiden MCCC Pahang, Daniel Khoo berkata, beliau sendiri pernah berdepan pengalaman sedemikian ketika membantu anak saudaranya yang bersekolah di Subang.
Katanya, anak saudaranya pernah didatangi seorang pelajar lelaki yang mengajaknya melakukan hubungan seks sebelum perkara itu diketahui keluarga.
“Saya terus pergi ke sekolah berkenaan untuk membuat aduan kepada guru disiplin. Ketika itu saya tidak kenalkan diri saya dari MCCC. Saya datang sebagai orang biasa, sebagai ahli keluarga.
“Tetapi saya rasa aduan itu tidak dilayan seperti yang sepatutnya,” dedah beliau kepada MalaysiaGazette.
Menurut Daniel, lebih mengecewakan apabila beliau mendakwa guru berkenaan cuba mempertahankan pelajar lelaki yang didakwa mengajak anak saudaranya melakukan perbuatan tersebut.
Katanya, keadaan berubah selepas beliau memperkenalkan diri dan memaklumkan penglibatannya dengan pertubuhan itu.
“Bila saya kenalkan diri, barulah mereka mahu ambil tindakan. Jadi persoalannya, kalau saya datang sebagai orang biasa, adakah aduan itu tidak akan diberi perhatian yang sama?,” soalnya.
Beliau berkata, pengalaman itu menunjukkan isu buli dan salah laku dalam kalangan pelajar perlu dilihat secara lebih serius kerana ia bukan semata-mata membabitkan pergaduhan atau ejek-mengejek.
Katanya, gangguan, ugutan dan salah laku berunsur seksual juga perlu diberikan perhatian segera bagi memastikan keselamatan mangsa tidak terjejas.
“Kalau seorang ibu atau bapa datang mengadu, jangan tengok siapa dia. Tengok masalah yang dibawa dan keselamatan anak yang terlibat.
“Jangan tunggu sampai berlaku sesuatu yang lebih buruk baru kita hendak bertindak,” tegas beliau.
Daniel berkata, setiap aduan berkaitan buli atau salah laku perlu direkodkan dan ditangani mengikut prosedur, tanpa mengira siapa yang datang membuat laporan.
Menurutnya, pendekatan pencegahan perlu bermula lebih awal kerana kegagalan menangani sesuatu aduan boleh menyebabkan mangsa terus terdedah kepada gangguan atau tekanan.
Beliau turut menggalakkan keluarga yang berdepan isu buli atau salah laku membabitkan anak mereka mendapatkan bantuan dan tidak memilih untuk berdiam diri.
Keluarga atau mangsa yang memerlukan panduan berkaitan isu berkenaan boleh menghubungi Daniel atau MCCC melalui talian 014-9946697.
“Yang penting, jangan diam. Kalau ada masalah, laporkan dan cari bantuan. Keselamatan anak-anak mesti menjadi keutamaan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















