P. Ramasamy

KUALA LUMPUR: Pemimpin Urimai, P. Ramasamy berpendirian lebih cepat UMNO mengakui kesilapannya dalam krisis di Negeri Sembilan, lebih cepat kontroversi tersebut dapat diselesaikan.

Menurutnya, sebagai langkah permulaan, UMNO harus memohon maaf kepada Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kerana menjadikan Negeri Sembilan sebagai sebuah gelanggang politik.

Selepas memohon maaf, katanya, UMNO harus menerima Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Negeri Sembilan yang sah.

Ujarnya, hanya melalui usaha berdamai dengan institusi diraja, UMNO dapat mengembalikan legitimasi anggota-anggota Exco yang telah dipecat.

“Biarlah Perlembagaan mengatasi politik kepartian yang remeh,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, kata beliau, telah jelas dari sudut undang-undang dan perlembagaan bahawa tindakan UMNO menentang Tuanku Muhriz sejak awal sebelum pilihan raya negeri adalah suatu kesilapan.

Ujarnya, penyingkiran pemerintah mestilah mengikut tatacara yang jelas dan ditetapkan selaras dengan Perlembagaan Negeri.

Tegas beliau, kuasa untuk menyingkirkan pemerintah tidak boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya atas nama kepentingan politik.

“Cara tergesa-gesa penyingkiran pemerintah itu dirancang, ditambah pula dengan kedudukan Menteri Besar yang memalukan, telah mengukuhkan kedudukan serta legitimasi Yang Dipertuan Besar.

“Adalah lebih daripada jelas siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap cubaan menyingkirkan Yang Dipertuan Besar, segala jari telunjuk mengarah kepada UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here