Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa semua pihak menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak menjadikan kemelut membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan sebagai percaturan politik.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sebarang pertikaian berkaitan institusi diraja perlu diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan proses adat yang sah.

Katanya, kepentingan politik tidak boleh mengatasi soal undang-undang, adab serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.

“Sebarang pertikaian hendaklah ditangani melalui proses yang sah tanpa menjatuhkan kehormatan baginda dan mencemar kemuliaan institusi diraja,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat AMK hari ini.

AMK turut menyifatkan polemik yang berlaku di Negeri Sembilan sebagai perkara serius dan meminta semua pihak mengambil pendekatan yang lebih berhemah dalam menanganinya.

Muhammad Kamil berkata, kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagai Ketua Agama Islam negeri juga perlu dihormati dan sebarang penyelesaian mestilah mengambil kira prinsip keadilan, adab serta proses adat.

“Malaysia tertegak dengan prinsip negara hukum. Semua pihak wajib mematuhi Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan proses adat yang sah.

“Keangkuhan politik tidak wajar digunakan untuk menginjak prinsip asas yang telah termaktub sejak sekian lama,” tegasnya.

Dalam pada itu, AMK turut menggesa kerajaan Madani membentangkan laporan berkaitan FELDA serta institusi lain termasuk MARA dan NAFAS yang dikaitkan dengan isu penyelewengan, salah guna kuasa dan kehilangan aset.

Menurut Muhammad Kamil, rakyat perlu mengetahui jumlah kerugian yang ditanggung, perkembangan pemulihan aset serta tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Mempertahankan institusi utama ini bermakna menjaga integriti serta manfaatnya kepada rakyat dan Bumiputera.

“Institusi yang diwujudkan untuk menjaga kepentingan Bumiputera tidak seharusnya dijadikan tempat untuk mana-mana pihak mengaut kekayaan,” katanya.

Bagi isu anak muda, AMK mahu kerajaan memberi perhatian kepada peluang pekerjaan berkualiti, gaji yang lebih baik, peningkatan kemahiran dan perlindungan sosial, khususnya kepada pekerja gig.

Katanya, golongan pekerja gig perlu diberikan kadar upah yang adil, perlindungan sosial dan mekanisme penyelesaian pertikaian yang jelas.

Isu perumahan juga perlu diberi perhatian supaya golongan muda mempunyai peluang memiliki kediaman serta membina kehidupan yang lebih stabil.

“Kita mahu perkara ini diterjemahkan dalam Belanjawan Madani 2027 yang akan datang,” katanya.

Mengulas persiapan menghadapi PRN Melaka, Muhammad Kamil berkata, AMK sudah memperkemas jentera di beberapa DUN tumpuan dan mengemukakan beberapa nama calon muda untuk pertimbangan kepimpinan pusat PKR.

Katanya, sebarang bentuk kerjasama politik pada PRN Melaka perlu memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

“Rakyat sudah letih dengan percaturan kuasa serta amalan membahagi kedudukan dan jawatan.

“Kerjasama politik tidak boleh sekadar menjadi ‘marriage of convenience’. Manfaat kepada rakyat Melaka mesti menjadi pertimbangan utama,” katanya lagi.

Dalam mesyuarat itu, AMK turut mengumumkan tiga pelantikan baharu iaitu Mohd Shafiq Iqram Abdullah sebagai Pengarah Strategi AMK; Wan Nur Aishah Ahmad Fazli sebagai Ketua AMK Wilayah Persekutuan dan Mohamad Iqbal Farok sebagai Timbalan Ketua AMK Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here