Datuk Seri Ab Rauf Yusof menyantuni peniaga yang terlibat dengan program Jualan Melaka Sayang Rakyat di pekarangan Pasar Besar MBMB di Bachang, Melaka malam tadi.

MELAKA – Gara-gara ayam berharga RM5 seekor, lebih 2,000 penduduk menyerbu pekarangan Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, malam tadi.

Dalam tempoh tidak sampai dua jam, kira-kira 2,000 ayam yang biasanya berharga RM15 seekor itu, ‘licin’ dijual.

Jualan murah itu diadakan sempena Jualan Melaka Sayang Rakyat yang dilancarkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di pekarangan pasar berkenaan.

Pembelian ayam dengan harga serendah itu dibeli menerusi 2,000 kupon yang diedarkan kepada orang ramai.

Beberapa pembeli yang ditemui teruja apabila ditawarkan harga bahan makanan itu yang dianggap paling murah pernah ditemui.

Seorang kakitangan awam, Mohd Hafiz Azahari berkata, inisiatif itu perlu diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan untuk membantu mengurangkan beban rakyat.

Mohd Hafiz Azahari

“Memang murah sangat dan tidak akan jumpa di tempat lain. Saya sangat sokong program jualan ini diadakan terus pada masa akan datang,” katanya yang membeli dua ekor ayam dan beberapa barangan segar lain.

Bagi seorang warga emas, Ahmad Khamis, 75, dia merasa berbaloi membeli makanan segar melalui kupon yang diberikan kepadanya.

Ahmad Khamis

“Saya beli dua ekor ayam. Kalau di tempat lain mungkin saya perlu membayar lebih RM40 untuk membeli dua ekor ayam.

“Tapi di sini saya hanya perlu bayar RM10 untuk dua ekor ayam,” katanya yang datang ke pekarangan pasar itu sejak jam 6 petang untuk mendapatkan kupon belian.

Suri rumah, Hamimah Abd Jalil, 69, dari Bukit Baru di sini pula menyifatkan Jualan Melaka Sayang Rakyat itu bertujuan membantu golongan peniaga dan pembeli.

Hamimah Abd Jalil

“Jualan ini sangat bagus sebab dapat membantu peniaga melariskan jualan dan pada masa sama pembeli dapat membeli dengan harga murah,” katanya.

Sehubungan itu, dia mengharapkan Jualan Melaka Sayang Rakyat itu diperluaskan ke seluruh negeri Melaka dan bukan sekadar di tapak pasar besar itu semata-mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here