KLANG – Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas kereta Perodua Bezza dipandunya bertembung dengan sebuah jentera berat di Jalan Haji Abdul Manan, KU8, Kawasan Perindustrian Meru Selatan di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 5.19 pagi itu, mangsa yang merupakan lelaki berbangsa India dilaporkan tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba pukul 5.50 pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pukul 5.19 pagi.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar tiba di lokasi pukul 5.27 pagi, kira-kira lapan minit selepas menerima panggilan.
“Komander operasi melaporkan kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza dengan sebuah jentera berat jenis Backhoe.
“Seorang pemandu lelaki berusia 22 tahun tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan anggota bertugas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata, mangsa ketika dikeluarkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya lagi, operasi membabitkan empat anggota JBPM daripada BBP Kapar dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT-1) dan dikawal pukul 5.35 pagi.
“Kes diserahkan kepada PDRM untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar kemalangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















