Tangkap layar klip video tular kemalangan maut di Jalan Bypass Kuantan tengah malam tadi.

KUANTAN – Seorang maut manakala dua lagi cedera dalam nahas membabitkan beberapa buah motosikal di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Terminal Sentral Kuantan di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2.35 pagi.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Jalan Sultan Abdullah menghala ke Semambu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar dua buah motosikal lain.

“Akibat kemalangan itu, lelaki berusia 24 tahun terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua lagi penunggang motosikal yang terlibat turut mengalami kecederaan dan difahamkan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini oleh orang awam untuk menerima rawatan.

Ashari memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menyeru orang awam yang melihat kejadian itu mahupun mempunyai maklumat lanjut agar tampil bagi membantu siasatan.

“Pihak polis sedang mengesan mangsa yang cedera serta kederaan lain yang turut terlibat dalam insiden itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here