KUALA LUMPUR – Tabung Solidariti bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak setakat 10 pagi tadi telah mengumpul RM9.25 juta namun masih berbaki RM40.75 juta untuk mencapai sasaran RM50 juta.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, usaha mengumpul sumbangan menerusi kaedah pengumpulan dana awam masih diteruskan bagi mencapai jumlah ditetapkan.
Menurutnya, usaha berkenaan diharap mendapat sokongan rakan-rakan bagi memastikan sasaran RM50 juta dapat dicapai dalam tempoh terdekat.
“Usaha-usaha sedang kita lakukan untuk menambah crowdfunding itu dan kita harap rakan-rakan kita akan dapat membantu dalam waktu terdekat untuk mencapai jumlah yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke 18 parti Makkal Sakti di Pusat Dagangan Dunia hari ini.
Beliau berkata, jumlah RM50 juta itu perlu diselesaikan sebelum penahanan di rumah dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Kita harap rakan-rakan kita akan dapat membantu kita dalam waktu terdekat untuk mencapai jumlah yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan,” katanya.
Untuk rekod, tabung berkenaan diwujudkan susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk penyelesaian denda berjumlah RM50 juta.
Sebelum ini, UMNO mengumumkan pelancaran tabung khas bagi membantu meringankan beban kewangan Najib untuk melunaskan denda berkenaan.
Ahmad Zahid turut berkata, inisiatif itu digerakkan atas semangat solidariti dan berharap kepimpinan parti, ahli, penyokong serta mana-mana pihak yang ingin menunjukkan sokongan dapat menyumbang secara sukarela. – MalaysiaGazette
















