Abadi didakwa atas pertuduhan membunuh anak saudaranya di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Seorang penebar roti canai dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak saudara perempuanya yang berusia lima tahun, minggu lalu.

Tertuduh, Abadi Mohd Yasro, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Najihah Hamidi.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang dibawa oleh anggota polis pukul 8.40 pagi didakwa membunuh Puteri Nur Afiyah Qalesya Mustafa, 5, di Sungai Sedili Besar, di sini pukul 8.20 pagi, 21 September lalu.

Tertuduh didakwa bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sekiranya tidak dihukum mati, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 40 tahun dan dikenakan 12 sebatan.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nuraini Mohd Shapee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan tarikh pemeriksaan kesihatan di Hospital Permai Johor Bahru dan laporan bedah siasat

Pada 21 September lalu, negara dikejutkan dengan insiden menyayat hati apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dilaporkan mati lemas akibat dicampakkan ke dalam sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili oleh bapa saudaranya yang disyaki mengalami masalah mental.

Suspek yang bersenjatakan sebilah parang mengamuk namun berjaya ditahan pihak polis yang tiba di lokasi kejadian selepas menerima laporan tentang kejadian itu.

Bagaimanapun. seorang anggota polis turut cedera ketika bergelut dengan suspek dalam usaha menahannya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here