KUALA LUMPUR – Pasukan RoboXcelerate A dan RoboXcelerate B mencipta kejayaan membanggakan apabila masing-masing meraih gelaran johan dan naib johan Robotic & Drone Soccer Competition sempena Johor Smart City Forum (JSCF) 2026 Vol. 2 yang berlangsung di Toppen Rooftop Garden, Johor Bahru pada 22 dan 23 September lalu.
Kejayaan itu menyaksikan kedua-dua pasukan diwakili murid-murid Sekolah Kebangsaan Besout berjaya mengungguli pertandingan yang menghimpunkan 34 pasukan daripada pelbagai peringkat pendidikan termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, kolej serta peserta dewasa.
Pertandingan berkenaan mengetengahkan gabungan teknologi, kepantasan, strategi dan kerja berpasukan dalam menguji keupayaan peserta mengendalikan robot dan dron dalam suasana kompetitif.
Lebih membanggakan, murid-murid sekolah rendah daripada RoboXcelerate berjaya menewaskan pasukan lawan yang lebih berusia dan berpengalaman sekali gus membuktikan potensi besar bakat muda dalam bidang robotik dan teknologi.
Kejohanan itu merupakan penyertaan pertandingan kelapan pasukan robotik RoboXcelerate sepanjang tahun 2026 selain menjadi kejohanan kedua yang menyaksikan pasukan RoboXcelerate A dan RoboXcelerate B bertemu sesama sendiri dalam penentuan kejuaraan.
Pasukan RoboXcelerate A muncul Johan diwakili Asytar Harraz Mohd Hafiz, Muhammad Aryan Iskandar Muhammad Hafeez dan Muhammad Akif Ziyad Kamarudin.
Sementara itu, pasukan RoboXcelerate B yang meraih Naib Johan dibarisi Muhammad Afifyusri Yahya, Nur Aleesya Tasneem Mohd Izuan dan Delisha Amani Muhamad Sobri.
Kejayaan tersebut turut mendapat sokongan guru pengiring, Muhammad Afifyusri Yahya serta bimbingan Asrul Affendi Abd Hamid dan Dr. Abdul Hafiz Zakaria.
Ketua Pegawai Eksekutif Adaptive Tech Sdn. Bhd. (ATSB), Areehan Abdullah berkata, pencapaian itu membuktikan murid sekolah rendah juga mampu bersaing pada peringkat lebih tinggi apabila diberikan peluang, bimbingan, latihan dan pendedahan yang sewajarnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM), robotik serta inovasi.
Menurut beliau, kejayaan berkenaan turut mencerminkan komitmen ATSB dalam memperkasa bakat muda menerusi pembelajaran secara praktikal, pembinaan kemahiran teknikal, penyelesaian masalah, strategi dan semangat kerja berpasukan.
Beliau berkata, pendedahan berterusan kepada aktiviti robotik dan teknologi mampu membantu melahirkan generasi muda yang kreatif, inovatif serta bersedia menghadapi cabaran dunia digital dan perkembangan teknologi masa hadapan.
Kejayaan RoboXcelerate A dan B dalam pertandingan itu sekali gus memperlihatkan potensi murid sekolah rendah untuk menyerlah dalam bidang robotik kompetitif serta mengukuhkan usaha memperluas pendidikan STEAM dalam kalangan generasi muda. – MalaysiaGazette
















