SUNGAI PETANI – Pencapaian kontinjen negara yang menyamai sasaran enam pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 amat membanggakan dan diharap menjadi pembakar semangat kepada atlet yang masih berjuang untuk turut menyumbang emas.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pencapaian itu, membuka peluang kepada kontinjen negara untuk mencipta sejarah baharu jika berjaya melepasi rekod sembilan pingat emas, iaitu pencapaian terbaik negara dalam sejarah penyertaan di Sukan Asia.
“Sejarah negara dalam Sukan Asia paling banyak sembilan pingat emas, jadi kalau dapat lebih, cipta sejarah baharu negara. Temasya masih berlangsung dan diharap kontinjen negara mampu mencapai lebih daripada sasaran yang ditetapkan.
“Kita harap atlet kekal bersemangat terutama bagi mereka yang belum selesai bertanding. Jadikan pencapaian ini sebagai pembakar semangat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Projek Sekolah Angkat MADANI KBS di SJK (T) Taman Keladi di sini, hari ini.
Mohammed Taufiq berkata kejayaan yang diraih itu merupakan hasil usaha sama semua pihak, termasuk atlet dan seluruh keluarga besar Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Syabas dan tahniah kepada semua atlet kita, kontinjen dan seluruh keluarga besar KBS kerana capai sasaran enam pingat emas. Ini amat membanggakan dan saya lihat sendiri kepayahan dan kesusahan atlet, korbankan masa dan tenaga untuk pastikan kita capai sasaran,” katanya.
Mohammed Taufiq berkata semua pihak yang terlibat, perlu dipuji atas usaha dan kerjasama dalam membantu atlet mencapai sasaran tersebut.
Beliau turut berkata setiap atlet yang berjaya memperoleh pingat akan menerima insentif masing-masing seperti yang telah ditetapkan.
Setakat ini, kontinjen Malaysia mengumpul enam pingat emas, dua perak dan sembilan gangsa, menjadikan keseluruhan 17 pingat dan berada di kedudukan ke-10 carta kutipan pingat.
Enam pingat emas negara disumbangkan menerusi karate (dua pingat emas), e-sukan, sepak takraw dan skuasy turut menyumbang dua pingat emas. – BERNAMA
















