ALOR SETAR – Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) tidak akan menyertai sebarang pertandingan kompetitif bagi musim 2026/2027.

Pengurusan KDA FC dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu memberi ruang kepada pihak pengurusan untuk menumpukan usaha menyelesaikan komitmen dan tanggungan kewangan sedia ada serta mengukuhkan semula pengurusan dan operasi kelab.

“Sepanjang tempoh itu, tumpuan KDA FC adalah untuk menstabilkan kedudukan kelab, memperkemas tadbir urus serta membina semula asas operasi yang lebih teratur. Usaha ini merangkumi semakan terhadap pengurusan dan pentadbiran bagi memastikan urusan kelab dapat dikendalikan dengan lebih cekap dan bertanggungjawab.

“Langkah-langkah pengukuhan akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada perkara yang perlu diselesaikan demi menyediakan asas yang lebih kukuh untuk masa depan KDA FC,” menurut kenyataan itu hari ini.

Pengurusan KDA FC memaklumkan sebarang keputusan mengenai penyertaan kelab dalam pertandingan pada masa hadapan akan dibuat berdasarkan tahap kesediaan kelab.

“KDA FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyokong atas kesetiaan, sokongan dan keprihatinan berterusan. Kehadiran di stadium, sokongan dari jauh serta pandangan dan teguran yang diberikan amat dihargai sebagai tanda hubungan erat antara penyokong dengan kelab.

“Penghargaan turut ditujukan kepada para penaja, rakan kerjasama dan semua pihak atas kepercayaan serta sumbangan dalam pelbagai bentuk. Setiap sokongan amat bermakna dan pihak pengurusan menghargai jasa serta hubungan yang terjalin,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here