Polis sedang mengesan dua kenderaan yang berlumba sambil menggunakan lampu jenis strobe flash light di Lebuhraya Utara-Selatan, Muar di semalam

MUAR – Polis sedang mengesan dua kenderaan yang dipercayai berlumba sambil menggunakan lampu jenis strobe flash light di Kilometer 135 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 5.48 pagi semalam.

“Video kejadian tersebut yang berdurasi tiga minit itu tular dalam media sosial memaparkan dua kenderaan dipercayai saling memotong antara satu sama lain.

“Kenderaan terbabit juga menggunakan lampu jenis strobe flash light yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan pengesan video berkenaan, laporan pertama dibuat di Balai Polis Trafik Muar.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati sebuah kenderaan terlibat berjaya dikenal pasti manakala sebuah lagi kenderaan masih dalam proses pengesanan.

“Polis daerah Muar sedang giat menjalankan usaha mengesan pemilik dan pemandu kedua-dua kenderaan bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya, jika sabit kesalahan boleh dihukum lima tahun penjara dan denda RM12,000 hingga RM50,000.

Raiz Mukhliz meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat kepada pihak polis.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here