KUALA LUMPUR – Pelakon Rita Rudaini akui dia sayu melihat wajah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sugul selepas kehilangan teman hidup, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir, pagi tadi.
Menerusi hantaran Instagram (IG), Rita meluahkan kehilangan Allahyarham Dr Siti Hasmah amat besar buat negara.
Ibu tunggal itu turut berduka dan percaya seluruh rakyat Malaysia turut mempunyai perasaan sama.
“Melihat Tun (Dr Mahathir) hari ini, hati saya tersentuh. Kehilangan teman hidup setelah puluhan tahun bersama bukan sesuatu yang mudah untuk digambarkan dengan kata-kata.
“Semoga Tun terus diberikan kekuatan, ketabahan dan semangat menghadapi kehilangan insan yang begitu dicintainya,” katanya yang turut berkongsi foto menyayat hati memaparkan Dr Mahathir menghadap jenazah isteri tercinta.
Pada hantaran itu, Rita meluahkan rasa kagum terhadap pasangan suami isteri yang setia bersama.
“Bagi saya, mereka adalah antara permata negara. Dua sosok yang mempunyai aura dan tempat tersendiri dalam hati rakyat.
“Selamat jalan Tun Dr Siti Hasmah. Semoga Allah mengampuni segala khilaf, merahmati roh Allahyarhamah dan menempatkannya bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
“Salam takziah buat Dr Mahathir dan seluruh keluarga. Malaysia kehilangan seorang wanita yang sangat disayangi. Al-Fatihah,” katanya. – MalaysiaGazette
















