KUALA LUMPUR – Padah menggunakan nombor pendaftraan vesel nelayan tempatan atau bot klon – dua vesel nelayan asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kelantan Rabu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kapten Maritim Kamal Mohamad berkata, tangkapan pertama melibatkan sebuah vesel dikesan kira-kira 137 batu nautika timur Muara Tok Bali dalam keadaan mencurigakan.
“Vesel ini cuba melarikan diri selepas diarah berhenti bagi pemeriksaan sebelum berjaya dipintas dan ditahan. Pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan dikendalikan seorang tekong berusia 34 tahun bersama 13 awak-awak berumur antara 15 hingga 61 tahun.
“Tangkapan kedua pula melibatkan sebuah lagi vesel dikesan kira-kira 148 batu nautika timur Muara Tok Bali yang cuiba melarikan diri dan pemeriksaan mendapati, ia dikendalikan seorang tekong berusia 46 tahun bersama 15 awak-awak berumur antara 17 hingga 53 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua vesel didapati gagal mengemukakan dokumen dan lesen yang sah, manakala kesemua tekong serta awak-awak yang ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Nilai keseluruhan rampasan melibatkan kedua-dua vesel, hasil laut dan barangan berkaitan dianggarkan berjumlah RM2,407,400.
“Kesemua 30 individu bersama kedua-dua vesel telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Tegas beliau, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan, risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan vesel nelayan asing, penyalahgunaan identiti vesel tempatan serta sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan dan kelestarian sumber perikanan negara. – MalaysiaGazette
















