KUALA LUMPUR – Suara Siswa UiTM menggesa kerajaan mengembalikan pembiayaan awam sebagai asas utama kewangan universiti, dengan peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kewangan (MOF) yang mencukupi bagi menanggung fungsi teras institusi pengajian tinggi awam.
Kumpulan mahasiswa itu berkata, peruntukan berkenaan perlu meliputi pengajaran, penyelidikan, penyelenggaraan kampus dan kebajikan mahasiswa tanpa memaksa universiti bergantung kepada keuntungan aktiviti komersial.
Menurutnya, yuran dan kos wajib pendidikan juga perlu dikurangkan secara berperingkat supaya pendidikan tinggi awam dapat dinyahkomodifikasikan.
“Universiti awam tidak sepatutnya dipaksa menjadi perusahaan yang mencari keuntungan untuk membiayai fungsi awamnya.
“Peruntukan pendidikan ialah tanggungjawab negara, manakala kekayaan dan aset universiti harus diprioritikan untuk mahasiswa, pekerja, pengajaran, penyelidikan dan kepentingan masyarakat,”
kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Gesaan itu dibuat Suara Siswa UiTM susulan perkembangan terbaharu berkaitan UiTM Holdings didakwa mencerminkan masalah lebih besar dalam model pembiayaan pendidikan tinggi negara.
Suara Siswa UiTM berkata, pengakuan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada 27 September bahawa kerajaan tidak lagi menanggung sepenuhnya keperluan kewangan universiti sejak 2017 menunjukkan universiti awam semakin didorong mencari sumber pendapatan sendiri.
Katanya, usaha itu termasuk melalui syarikat pegangan, pelaburan dan kegiatan komersial, manakala KPT pada masa sama mengakui sebahagian syarikat pegangan universiti tidak berfungsi dengan baik dan proses meneliti serta menyusun semula syarikat berkenaan telah dimulakan sejak tahun lalu.
Menurut Suara Siswa UiTM, UiTM Holdings tidak wajar dilihat semata-mata sebagai sebuah syarikat yang mengalami masalah kewangan.
KPT sebelum ini mengesahkan kerugian sebelum cukai terkumpul UiTM Holdings sekitar RM157 juta bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021, manakala Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pernah merekodkan suntikan modal UiTM berjumlah RM259.98 juta kepada syarikat itu antara 2007 hingga 2018 serta membangkitkan isu pematuhan dan tadbir urus.
Tegas kumpulan mahasiswa itu, perkembangan berkenaan perlu dibaca bersama dasar kewangan pendidikan tinggi negara.
Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 merekodkan sumbangan kerajaan kepada universiti awam bukan universiti penyelidikan turun daripada 85 peratus perbelanjaan operasi pada 2015 kepada 76 peratus pada 2022, sementara pendapatan dijana sendiri meningkat daripada 21 kepada 22 peratus.
Tambahnya, 60 peratus institusi pendidikan tinggi awam pada 2021 merekodkan defisit gabungan melebihi RM700 juta.
Suara Siswa UiTM berkata, keadaan itu menunjukkan universiti awam semakin diletakkan di bawah tekanan untuk mencapai kelestarian kewangan melalui penjanaan pendapatan, termasuk pelaburan, kegiatan komersial, konsultansi dan model perniagaan baharu.
Pelan sama secara jelas meletakkan penjanaan pendapatan, pendanaan berasaskan prestasi dan model perniagaan inovatif sebagai sebahagian daripada agenda kelestarian kewangan institusi.
“Kami melihat persoalan UiTM Holdings sebagai sebahagian daripada masalah korporatisasi pendidikan tinggi. Apabila pembiayaan awam dikurangkan, risiko kewangan tidak hilang, tetapi dipindahkan kepada universiti untuk ditanggung melalui pasaran dan akhirnya kepada mahasiswa melalui pelbagai bentuk kos pendidikan dan sara hidup,” kata kumpulan itu.
Dalam pada itu, Suara Siswa UiTM menuntut supaya sebarang penyusunan semula UiTM Holdings tidak berakhir dengan sekadar mencari model perniagaan baharu atau menutup kerugian melalui suntikan dana awam tanpa perubahan struktur.
Kumpulan itu mahu kerajaan menilai semula aktiviti komersial universiti berdasarkan kepentingan pendidikan dan masyarakat, di samping memastikan pekerja universiti tidak menjadi pihak yang menanggung kesan penstrukturan.
Mengulas mengenai pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap UiTM Holdings, Suara Siswa UiTM berkata, sebarang pertuduhan jenayah hendaklah tertakluk kepada hasil siasatan dan proses undang-undang, namun isu tadbir urus serta model pembiayaan universiti boleh dipersoalkan secara berasingan.
SPRM dalam kenyataan baru-baru ini berkata, siasatan tersebut masih berjalan dan melibatkan isu teknikal serta kelemahan tadbir urus, termasuk dakwaan pembayaran RM42 juta berkaitan projek solar 50MW di Gambang yang dikatakan dibuat tanpa kelulusan lembaga pengarah dan bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek. – MalaysiaGazette
















