ISKANDAR PUTERI – Suntikan RM89.77 juta akan disalur kepada sebuah syarikat produksi tempatan menerusi projek kerjasama antarabangsa membabitkan studio terkemuka dari Australia dan Korea Selatan bagi tempoh dua tahun ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, projek berkenaan akan diterajui OMG Studios bersama-sama Madman Entertainment (Australia) serta Greenpatch Studio (Korea Selatan).
“Projek ini merangkumi dua segmen utama. Dua projek utama akan dibangunkan menerusi kerjasama iaitu penerbitan filem dan televisyen Malaysia-Australia bernilai RM40.8 juta (US$10 juta) serta penerbitan filem cereka Malaysia-Korea bernilai hampir RM49 juta (US$12 juta).
“Kerjasama ini berupaya mencipta peluang nyata bagi bakat, vendor, studio, serta pemilik harta intelek (IP) tempatan untuk terlibat dalam produksi antarabangsa selain membina keupayaan jangka panjang.
“Ia sekali gus memperkukuh potensi koridor Johor-Singapura sebagai hab serantau bagi kandungan antarabangsa, produksi virtual, kecerdasan buatan (AI) generatif dan teknologi kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program KL20 at Johor 2026: The Orange Economy Chapter-Creativity Reimagined di Iskandar Malaysia Studio (IMS), di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han.
Akmal Nasrullah berkata, kerjasama antarabangsa itu berpotensi membuka peluang terhadap bakat, vendor, studio dan pemilik harta intelek (IP) tempatan terlibat dalam produksi antarabangsa selain membangunkan keupayaan industri kreatif tempatan.
Kerjasama itu katanya, turut mengukuhkan potensi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai hab serantau bagi kandungan antarabangsa, produksi maya, AI generatif dan teknologi kreatif.
Tambahnya, keupayaan IMS turut menyediakan platform praktikal membuka ruang kepada penerbitan produksi, teknologi dan akses pasaran.
“Johor mempunyai kedudukan yang baik untuk memajukan agenda ini. Kedudukan bersebelahan dengan Singapura, infrastruktur industri dan digital, hubungan serantau serta keupayaan sekitar IMS menjadikannya platform praktikal untuk produksi, teknologi dan akses pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette
















