KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing cedera parah akibat ditetak dengan parang oleh individu tidak dikenali dalam kejadian di Jalan Kuda Emas, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superitenden Lim Chun How berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 8.52 pagi.
Menurutnya, mangsa berusia 54 tahun ditetak menggunakan parang oleh orang tidak dikenali ketika sedang bekerja di sebuah syarikat penjualan kereta terpakai sekitar jam 6.30 pagi.
“Akibat kejadian itu, mangsa yang merupakan pembantu syarikat jualan kereta mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian badan yang lain.
“Keadaan mangsa kini separa kritikal dan sedang menjalani rawatan di zon merah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, motif kejadian dipercayai melibatkan cubaan suspek untuk mencuri bateri kereta dan polis sedang giat mengesan suspek terlibat bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline IPD Cheras, ditalian 03-9205 0222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















