Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ting Han dalam program KL20 at Johor 2026: The Orange Economy Chapter-Creativity Reimagined di Iskandar Malaysia Studio (IMS), Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Langkah penstrukturan semula Unit Filem Johor di bawah pengawasan Invest Johor akan dilakukan bagi mengatasi kekangan pentadbiran serta operasi sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, langkah itu sekali gus memudahkan urusan lesen dan permit penggambaran dijalankan lebih cekap.

“Kerajaan negeri komited memperkasakan sektor ekonomi kreatif dan digital di Johor menerusi penstrukturan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program KL20 at Johor 2026: The Orange Economy Chapter-Creativity Reimagined di Iskandar Malaysia Studio (IMS), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, langkah tersebut antara lain mempergiat usaha menarik pengeluaran filem tempatan dan antarabangsa dengan sekurang-kurangnya satu projek penerbitan filem antarabangsa dari Amerika Syarikat (AS) kini diusahakan di Johor.

“Kawasan Iskandar Malaysia telah lama memberi fokus kepada sektor ekonomi kreatif atau ‘Ekonomi Jingga’ sejak 2010 hasil pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menerusi Iskandar Malaysia Studios katanya, Johor mempunyai infrastruktur kukuh yang pernah menghasilkan filem dan siri drama antarabangsa terkenal seperti Marco Polo.

“Dengan meletakkan Unit Filem Johor di bawah Invest Johor, kita dapat memudah cara permohonan permit khas bagi penggambaran adegan libat letupan, penutupan jalan, serta akses ke kawasan strategik termasuk pelabuhan dan lapangan terbang,” katanya.

Ting Han berkata, selain memudahkan pemberian permit, kerajaan negeri turut terbuka untuk meminjamkan atau menyewakan lokasi serta fasiliti milik kerajaan negeri bagi tujuan penggambaran filem terkemuka.

Mengulas mengenai kehadiran produksi antarabangsa, beliau menjelaskan, penglibatan syarikat luar membawa limpahan ekonomi yang signifikan kepada syarikat dan tenaga kerja tempatan.

“Setiap kali produksi luar datang, mereka membawa tenaga kerja yang ramai serta kepakaran baharu. Pada masa sama, mereka turut mengupah syarikat tempatan sebagai sebahagian daripada rantaian pembekalan.

“Ini bukan sahaja mengharumkan nama Johor dan Malaysia di peringkat antarabangsa, malah dapat mewujudkan ekosistem baharu bagi menarik lebih banyak pengeluaran filem antarabangsa pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru penggiat filem tempatan agar memanfaatkan prasarana di Johor dan tidak hanya bertumpu kepada penggambaran di kawasan Lembah Klang.

“Banyak filem tempatan sebelum ini bertumpu di Lembah Klang. Kita berharap para penerbit tempatan dapat melihat infrastruktur serta bakat sedia ada di Johor untuk menghasilkan karya bertaraf antarabangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here