KUALA LUMPUR – Gara-gara cemburu selepas salah seorang mangsa dipercayai kembali berhubung dengan bekas teman lelakinya, seorang lelaki bukan warganegara menceroboh sebuah rumah di Taman Sri Bintang, Kepong, awal pagi tadi sebelum mencederakan dua beradik menggunakan pisau.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.04 pagi itu, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerima panggilan MERS999 daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki menceroboh masuk ke sebuah rumah di Jalan 44/38A, Taman Sri Bintang.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Anuar Bakri Abdul Salam berkata, sebaik menerima maklumat, polis bergegas ke lokasi dan mendapati terdapat kesan terbakar pada bahagian luar rumah berkenaan.
Menurut beliau, polis turut menemukan dua mangsa, kedua-duanya rakyat Malaysia dan merupakan adik-beradik, yang mengalami kecederaan dan sedang bersembunyi di dalam tandas di bilik tingkat bawah.
“Polis kemudian naik ke tingkat atas rumah dan mendapati suspek berada di dalam sebuah bilik sambil memegang sebilah pisau.
“Suspek berjaya ditangkap dan polis turut merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua mangsa dan suspek mengalami kecederaan akibat tikaman.
Kesemua mereka kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Siasatan awal polis mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu suspek terhadap salah seorang mangsa selepas mangsa berhubung semula dengan bekas teman lelakinya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Polis Kuala Lumpur turut mengingatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah kepada Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















