Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berpandangan sebarang kenaikan gaji minimum tidak boleh merangkumi pekerja-pekerja asing demi membela dan melindungi kepentingan rakyat dan perniagaan Malaysia.

Beliau yang juga Penasihat DAP berkata, pekerja asing tidak harus mendapat manfaat kenaikan gaji apabila majikan tempatan mengupah mereka berdasarkan kontrak yang dipersetujui bersama sebelum ini.

Dalam masa sama, ujarnya, sumbangan dua peratus untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing harus dimansuhkan segera kerana merugikan majikan tempatan dan perindustrian mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tanpa menguntungkan pekerja asing.

“Lindungi PMKS dan mengutamakan perniagaan tempatan terlebih dahulu dengan mengecualikan pekerja asing daripada mendapat manfaat daripada sebarang kenaikan gaji minimum!,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar gaji minimum RM1,700 dijangka dinaikkan dan perinciannya akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.

Menurut Anwar, semakan dan kajian mengenai pelarasannya berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Guan Eng berkata, pengumuman kenaikan gaji minimum oleh Perdana Menteri itu menimbulkan kerisauan serta keresahan di kalangan peniaga-peniaga tempatan, khususnya PMKS.

Ujarnya, kumpulan itu kini menghadapi tekanan persaingan sengit dengan pemotongan harga daripada pengeluar luar negeri serta pelaksanaan cukai dan kenaikan kos pematuhan.

“Dalam keadaan ekonomi yang agak lembab, kerajaan diharapkan mengadakan libat urus dengan peniaga dan PMKS yang terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here