KUALA LUMPUR – Pertubuhan Al-Khair Malaysia (Alkhair Malaysia) memohon penjelasan daripada pihak berkaitan berhubung beberapa persoalan utama mengenai penghantaran pulang pelarian Myanmar dari Malaysia khususnya berkaitan aspek keselamatan dan keadaan mereka selepas tiba di negara asal.
Ketua Pegawai Operasi Alkhair Malaysia, Mohd Luqmanulhakim Mohd Redzuan berkata, pihaknya berpandangan proses penghantaran pulang bukan hanya perlu dilihat daripada sudut mereka selamat tiba di destinasi tetapi juga daripada segi keselamatan dan kebajikan mereka selepas pemulangan.
“Antara persoalan utama yang wajar diberikan penjelasan ialah ke mana mereka akan dihantar?
“Apakah kawasan atau lokasi yang menjadi destinasi mereka selepas dihantar pulang dan bagaimana keadaan di kawasan tersebut dinilai dari sudut keselamatan?” katanya dalam kenyataan.
Mohd Luqmanulhakim juga personal bagaimana tahap keselamatan mereka dinilai sebelum penghantaran pulang.
“Adakah penilaian risiko dibuat secara individu dengan mengambil kira keadaan serta kemungkinan ancaman yang mungkin mereka hadapi selepas kembali ke Myanmar?
Bagaimana persetujuan untuk pulang diperoleh? Sekiranya mereka bersetuju untuk pulang secara sukarela, adakah mereka diberikan penerangan yang mencukupi mengenai keadaan yang bakal mereka hadapi selepas kembali dalam bahasa yang mereka fahami?” soalnya.
Menurutnya, bagaimana jika seseorang berasa tidak selamat atau mahu menarik balik persetujuan dan apakah prosedur yang tersedia sekiranya seseorang berubah fikiran, menyatakan kebimbangan atau tidak lagi bersetuju untuk dihantar pulang.
“Siapa yang memantau keadaan mereka selepas tiba? Apakah mekanisme pemantauan yang tersedia bagi memastikan keadaan dan keselamatan mereka dapat diketahui selepas mereka tiba di Myanmar?” soalnya lagi.
Menurutnya, banyak lagi persoalan lain perlu diperjelas termasuk kepada siapa mereka boleh mendapatkan bantuan jika menghadapi masalah selepas pulang dan bagaimana sekiranya mereka berdepan ancaman keselamatan, masalah tempat tinggal, makanan, rawatan atau keperluan asas lain, apakah saluran bantuan yang boleh mereka akses.
“Alkhair Malaysia tidak mempunyai maklumat mengenai keadaan setiap individu yang terlibat. Oleh itu, kami tidak mahu membuat kesimpulan bahawa kesemua mereka dipaksa untuk pulang.
“Pada masa yang sama, kami juga tidak wajar menganggap kesemua mereka berada dalam keadaan selamat tanpa penjelasan dan mekanisme pemantauan yang jelas,” katanya.
Bagi Alkhair Malaysia, persoalan lebih penting adakah mereka mempunyai peluang untuk meneruskan kehidupan dengan selamat selepas mereka tiba.
“Apa yang ingin diketahui ialah bagaimana penilaian risiko dibuat, bagaimana persetujuan diperoleh dan bagaimana keselamatan serta kebajikan mereka dipantau selepas penghantaran pulang,” katanya.
Dalam masa yang sama, Alkhair Malaysia mengakui kebimbangan rakyat Malaysia berkaitan keselamatan, pekerjaan, perniagaan serta kemampuan negara mengurus isu ini juga merupakan perkara yang wajar didengar dan diberikan perhatian.
Mengambil berat tentang kebimbangan rakyat Malaysia tidak bermakna kita perlu mengetepikan soal keselamatan dan nyawa mereka yang dihantar pulang, katanya.
Alkhair Malaysia berharap pihak berkaitan dapat memberikan penjelasan yang menyeluruh dan telus mengenai perkara berkenaan supaya masyarakat memahami bagaimana proses penghantaran pulang dilaksanakan serta apakah langkah yang diambil bagi memastikan keselamatan mereka, bukan hanya ketika perjalanan pulang tetapi juga selepas mereka tiba di negara asal. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
1,476 warga Myanmar dihantar pulang secara sukarela hari ini
















