KUALA LUMPUR – Akibat cemburu kerana berhubung semula dengan bekas teman lelaki dipercayai menjadi punca dua beradik cedera dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan 44/38 A, Taman Sri Bintang, Kepong, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, pihaknya menerima panggilan dari MERS999 berhubung seorang lelaki warga asing menceroboh kediaman itu jam 5.04 pagi.
“Polis telah hadir ke tempat kejadian dan mendapati terdapat kesan bakar pada bahagian luar rumah serta terdapat dua mangsa tempatan berusia 18 dan 21 tahun yang cedera sedang bersembunyi di dalam tandas bilik bawah.
“Kemudian polis naik ke tingkat atas rumah dan menemui suspek berumur awal 20-an yang merupakan pelajar universiti swasta berada di berada di dalam bilik sambil memegang sebilah pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, susulan itu polis berjaya menahan suspek dan merampas pisau yang digunakan dalam kejadian itu.
“Pemeriksaan mendapati, kedua-dua mangsa serta suspek cedera akibat kesan tikaman dan mereka telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Polis masih menyiasat dan menunggu pengesahan forensik berhubung bahan yang digunakan suspek untuk membakar rumah berkenaan,” jelasnya.
Ujarnya lagi, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh menyalurkan maklumat atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















