JOHOR BAHRU – Perdana Menteri digesa merehatkan Marhamah Rosli daripada jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memberi laluan siasatan dilakukan selepas dikaitkan dengan New Age Movement (NAM).

Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, Marhamah perlu bercuti sepanjang siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan sehingga dapatan dimuktamadkan.

“Langkah sementara ini penting bagi menjaga kewibawaan institusi agama, mengelakkan kemungkinan konflik kepentingan dan memberikan ruang kepada beliau untuk menjawab dakwaan.

“Ia tidak membawa maksud beliau telah diputuskan bersalah. Siasatan perlu melibatkan pakar akidah serta pihak berautoriti yang tiada konflik kepentingan, dengan rumusan dapatan dijelaskan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Amanah Johor berharap kerajaan bertanggungjawab memastikan proses penelitian benar-benar bebas, telus dan mampu menjawab persoalan rakyat.

Katanya, penafian Marhamah sebelum ini serta segala bahan yang dipersoalkan perlu dinilai secara menyeluruh oleh pihak berautoriti tanpa tekanan politik.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah memaklumkan bahawa sesi tabayyun bersama-sama beliau diadakan dengan penglibatan Mufti Wilayah Persekutuan dan panel pakar akidah serta beberapa teguran dan panduan telah diberikan.

“Saya mengambil maklum penafian beliau terhadap dakwaan tersebut. Namun, persoalan yang menyentuh akidah dan dakwaan ajaran sesat tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pemegang amanah dalam pentadbiran hal ehwal Islam negara.

“Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 yang membawa perintah supaya menyelidik dan memastikan kebenaran sesuatu berita,” katanya.

Prinsip itu katanya, menuntut setiap dakwaan diperiksa berdasarkan bukti, penjelasan pihak terlibat didengar dan kesimpulan dibuat secara adil.

“Allah SWT turut memerintahkan dalam Surah al-Nisa’, ayat 58 agar amanah diserahkan kepada yang berhak dan penghakiman sesama manusia dilakukan dengan adil.

“Amanah mengurus hal ehwal Islam menuntut kebertanggungjawaban yang tinggi. Isu akidah dan dakwaan ajaran sesat tidak boleh dibuat main,” ujarnya.

Semalam, Marhamah menegaskan beliau berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak pernah meninggalkan pegangan tersebut.

Sehubungan itu, Marhamah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau menganut, mengamalkan atau menyebarkan ajaran NAM atau mana-mana ajaran yang bercanggah dengan akidah dan Syariat Islam. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here