KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan, Nur Athilah Mohd Zulkefli dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Cempaka, Jalan Prima 7/1, Taman Puchong Prima, Puchong pada 25 September lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja berusia 14 tahun itu daripada ahli keluarganya sekitar jam 10.20 pagi tadi.
“Orang hilang (OH) dikenali sebagai Nur Athilah Mohd Zulkefli itu kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya sekitar jam 9.30 malam dengan memakai baju-T berwarna biru dan seluar trek berwarna hitam.
“OH mempunyai ketinggian 153 sentimeter (cm), berat 52 kilogram (kg), berkulit sawo matang, berambut hitam pendek serta mempunyai mata berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat remaja berkenaan supaya tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya). – MalaysiaGazette
















