Foto: AFP

WASHINGTON – Gabenor Georgia Brian Kemp mengisytiharkan  keadaan darurat susulan harga petrol di Amerika Syarikat (AS) yang sekali lagi mencatat paras tertinggi, selain menggantung cukai bahan api negeri itu selama sebulan mulai Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Awal bulan ini, media melaporkan bahawa Rumah Putih sedang mempertimbangkan langkah untuk menurunkan harga bahan api, termasuk mengenakan larangan terhadap eksport diesel. Satu lagi pilihan ialah membenarkan pihak berkuasa negeri mengambil langkah sendiri bagi mengurangkan kos.

“Gabenor Brian P. Kemp hari ini mengisytiharkan keadaan darurat berikutan ketidaktentuan pasaran global dan menggantung cukai eksais bahan api motor negeri untuk tempoh 30 hari. Penggantungan itu berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam [04:01 GMT] pada 29 Sept dan akan berlangsung sehingga 29 Okt,” menurut pejabat gabenor dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu menambah bahawa cukai eksais bahan api motor semasa di negeri berkenaan ialah 33.3 sen AS segelen bagi petrol dan 37.3 sen AS segelen bagi diesel.

“Perintah eksekutif gabenor yang mengisytiharkan keadaan darurat itu turut menggantung had berat negeri bagi kenderaan komersial, sekali gus mengurangkan lagi kos yang diambil kira dalam harga barangan harian seperti barangan yang dibeli di kedai runcit,” menurut kenyataan itu.

Pada Isnin, Gabenor Texas Greg Abbott turut mengisytiharkan keadaan darurat di seluruh negeri dan membenarkan penggunaan diesel berwarna secara lebih meluas di jalan raya awam.

Menurut Persatuan Automobil Amerika (AAA), harga bahan api diesel di AS mula meningkat dengan ketara pada September. Walaupun harga purata diesel di Texas ialah US$3.16 segelen setahun lepas, harganya mencecah paras rekod US$5.97 pada 19 Sept.

Pada 28 Feb, AS dan Israel mula melancarkan serangan terhadap sasaran di Iran, yang kemudian dibalas Iran dengan serangan balas. Pada pertengahan Jun, Tehran dan Washington menandatangani memorandum untuk menghentikan permusuhan, namun tidak lama kemudian kedua-dua pihak kembali saling melancarkan serangan. Pada masa ini, konflik berkenaan masih belum diselesaikan.

Peningkatan konflik itu hampir menghentikan sepenuhnya aktiviti perkapalan melalui Selat Hormuz, yang merupakan laluan bekalan penting bagi minyak global, produk petroleum dan gas asli cecair. Akibatnya, harga bahan api meningkat di kebanyakan negara. –BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here