KUALA LUMPUR – Lebih 8,000 peluang pekerjaan daripada 200 majikan bakal ditawarkan kepada graduan dan pencari kerja menerusi National Graduate Career Fair 2026 yang akan berlangsung pada 3 dan 4 Oktober ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Karnival kerjaya berskala nasional itu juga menyediakan ruang kepada graduan untuk bertemu dan berinteraksi secara terus dengan majikan, meneroka bidang kerjaya bersesuaian serta mendapatkan panduan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam satu kenyataan berkata, antara majikan utama yang mengambil bahagian ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).
Selain itu, karnival kerjaya berkenaan turut mendapat sokongan daripada Malaysia Airports Holdings Berhad, Prasarana Malaysia Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang turut sama menawarkan pekerjaan kepada pengunjung.
“Peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor dan tahap kemahiran, termasuk bidang maklumat dan komunikasi, kewangan, pembuatan, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal, pengangkutan dan penyimpanan serta kesihatan dan kerja sosial.
”Lebih menarik, lebih separuh atau 52.91 peratus daripada keseluruhan kekosongan yang ditawarkan menyediakan gaji melebihi RM3,000 sebulan, termasuk jawatan Eksekutif Akaun dengan gaji bermula sekitar RM3,000, manakala tawaran bagi jawatan tertentu seperti pengurus IT mencecah sehingga
RM17,000 sebulan.
National Graduate Career Fair 2026 dibuka jam 9 pagi hingga 4.30 petang bukan hanya menyediakan peluang untuk graduan mendapatkan pekerjaan pertama, tetapi turut membuka akses kepada pekerjaan yang mempunyai potensi pendapatan dan perkembangan kerjaya yang lebih baik,” menurut kenyataan tersebut.
Jelas Perkeso, menerusi konsep “walk-through career experience”, graduan dan pencari kerja berpeluang bergerak dari satu majikan ke satu majikan, mengenal pasti kekosongan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka serta berinteraksi secara langsung dengan wakil industri.
Selain peluang pekerjaan, peserta turut boleh mendapatkan semakan resume profesional dan khidmat kaunseling kerjaya bagi membantu mereka mengenal pasti kekuatan, memperkemas strategi pencarian kerja serta membuat persediaan yang lebih baik sebelum berhadapan dengan majikan.
”Pendekatan ini menjadikan program ini sebagai satu platform yang menghubungkan secara lebih langsung antara bakat yang sedang mencari peluang dengan keperluan sebenar industri, sekali gus membantu mengurangkan jurang antara kelayakan graduan dan permintaan pasaran pekerjaan.
Bagi graduan dan pencari kerja yang berminat, anda boleh membuat pendaftaran menerusi portal MYFutureJobs di www.myfuturejobs.gov.my/careerfair dan maklumat lanjut mengenai National Graduate Career Fair 2026 turut boleh diperoleh menerusi portal berkenaan.
”Perkeso menggalakkan graduan dan pencari kerja supaya tidak melepaskan peluang untuk hadir ke program ini, khususnya mereka yang sedang mencari pekerjaan, mahu meneroka bidang kerjaya baharu atau ingin mendapatkan pekerjaan lebih sepadan dengan kelayakan dan kemahiran.
”National Graduate Career Fair 2026 bukan sekadar mengenai jumlah kekosongan yang ditawarkan, tetapi usaha mempertemukan graduan dan pencari kerja dengan peluang yang boleh menjadi langkah pertama kepada kerjaya yang lebih kukuh,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















