TABUK, Arab Saudi – Sebuah pesawat Flydubai yang dalam penerbangan menuju Tel Aviv terpaksa mendarat di Arab Saudi pada hari Rabu selepas berlaku satu “insiden”, menurut syarikat penerbangan itu.
Media Israel pula melaporkan berlaku pergaduhan antara juruterbang pesawat berkenaan yang dipercayai menyebabkan isyarat kecemasan diaktifkan.
Penerbangan FZ1073 dari Dubai ke Tel Aviv mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Tabuk (TUU) dan semua penumpang selamat serta telah dikenal pasti,” kata jurucakap syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan.
Penyiar awam Israel, Kan, dan Channel 12 melaporkan tentera Israel mengerahkan jet pejuang selepas timbul kebimbangan kemungkinan pesawat itu dirampas, namun andaian berkenaan kemudiannya diketepikan.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dan sedang “memantau perkembangan”.
“Insiden itu berada dalam kawalan dan semua langkah sedang diambil bagi memastikan penumpang Israel dapat kembali ke Israel dengan selamat,” menurut kenyataan itu.
Syarikat penerbangan berkenaan dan pihak berkuasa negara terlibat bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai apa yang berlaku di dalam pesawat.
Tentera Israel ketika dihubungi AFP berkata, pihaknya sedang “memeriksa” laporan berkenaan.
Media Israel yang memetik sumber tanpa nama melaporkan penumpang di dalam pesawat terpaksa campur tangan untuk meleraikan pergaduhan antara juruterbang, selain menerbitkan gambar seorang penumpang yang memakai baju-T berlumuran darah.
Channel 12 melaporkan, pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada salah seorang juruterbang cuba membunuh diri dengan berusaha menjatuhkan pesawat, sebelum seorang lagi juruterbang dipercayai campur tangan untuk menghalang kejadian itu.
Laporan berkenaan bagaimanapun belum dapat disahkan secara bebas.
Berdasarkan data laman web Flightradar, pesawat itu dilaporkan mengalami penurunan altitud secara mendadak ketika penerbangan, daripada hampir 34,000 kaki pada 5.21 pagi GMT kepada kurang daripada 17,000 kaki seminit kemudian.
Insiden itu berlaku ketika ketegangan memuncak di seluruh Asia Barat susulan perang serantau yang tercetus pada akhir Februari selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Ia juga berlaku menjelang pilihan raya Israel yang dijangka sengit, dijadual berlangsung pada penghujung Oktober ini.
Pada hari Selasa, Netanyahu berkatam terdapat “petunjuk” bahawa musuh Israel mungkin cuba melancarkan serangan menjelang pilihan raya.
Bagaimanapun, ketua pembangkang menuduh beliau cuba “menakut-nakutkan” rakyat menerusi kenyataan tersebut. – Agensi
















