KOTA TINGGI – Polis menahan tiga lelaki dan dua wanita termasuk warga emas selepas disyaki memajakkan gelang emas palsu di sebuah kedai emas di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menahan tiga lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 34 hingga 62 tahun di Sungai Rengit semalam.
“Tangkapan dibuat susulan laporan daripada seorang pengurus kedai pajak gadai pada pukul 1.58 petang.
“Pengadu wanita itu memaklumkan telah menerima seutas gelang emas dianggarkan seberat 23 gram daripada seorang suspek. Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut mendapati gelang emas berkenaan adalah palsu.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Rengit yang diketuai Ketua Polis Balai berkenaan berjaya menahan kesemua lima suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yusof berkata, semakan mendapati seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes penjualan emas palsu di Alor Setar, Kedah manakala dua lagi suspek mempunyai rekod berkaitan kesalahan narkotik.
Katanya, penahanan kesemua suspek dapat membantu merungkai beberapa kes berkaitan pemajikan dan penjualan emas palsu di sekitar daerah ini.
Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Pengerang dan dibenarkan tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 2 Oktober depan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang sembilan bulan dan tidak lebih 10 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan, katanya.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan untuk tampil memberikan kerjasama bagi membantu melengkapkan siasatan.- MalaysiaGazette
















