Tangkap layar aksi polis mengejar lori dicuri dalam kejadian di Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Polis mengejar seorang lelaki yang melarikan sebuah lori dipercayai dicuri sejauh beberapa kilometer sebelum berjaya memberkasnya di kawasan Tanjung Langsat di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, sebelum itu lori terbabit dilaporkan hilang di Plentong dan mendapati ia berada di kawasan perindustrian di daerah ini selepas usaha mengesannya dilakukan.

“Kejadian tersebut dilaporkan pukul 7.20 pagi dan bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan lori tersebut di jalan raya namun suspek enggan memberhentikan kenderaan.

“Polis kemudian terus mengejar suspek yang memandu secara berbahaya sehingga melanggar sebuah kereta peronda,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu portal ini melaporkan polis mengejar sebuah lori berwarna hijau dipercayai dicuri dan dipandu secara berbahaya termasuk melawan arus.

Video berdurasi 35 saat memaparkan aksi itu tular dalam media sosial.

Sohaimi berkata, suspek yang merupakan warga tempatan berusia 30-an kemudian berjaya ditangkap dan pemeriksaan polis menemui sepaket plastik lutsinar dipercayai dadah.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai 27 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan; Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas; Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan, ujarnya.

Tambah Mohd Sohaimi, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama.

Jelasnya, permohonan tahanan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi tindakan dan siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here