Banjir di Shah Alam. Gambar MBSA

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada susulan kenaikan air yang dikesan di sekitar lampu isyarat I-City, Seksyen 7 dan Padang Jawa, Seksyen 16, Shah Alam.

Majlis Bandaraya Shah Alam berkata, orang awam khususnya pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan, memandu dengan berhati-hati serta mengelakkan kawasan yang terjejas sekiranya keadaan air semakin meningkat.

“Utamakan keselamatan dan sentiasa peka dengan keadaan semasa,” pesan pihak berkuasa tempatan itu.

Dalam pada itu, warga maya berkongsi keadaan trafik di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam dan Klang yang sesak teruk sejak jam 4.30 petang tadi susulan hujan lebat.

Sepanjang laluan kelihatan air naik menyebabkan aliran lalu lintas terjejas.

Di Threads, netizen memaklumkan banjir di Seksyen 7, Shah Alam sudah separas air tasik hingga siren berbunyi di Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Rata-rata pengguna jalan memberitahu, mereka tersekat di atas jalan raya disebabkan air naik

Seorang pengguna turut berkongsi jalan ke Padang Jawa masih sesak kerana air belum surut.

Selain kawasan itu, laluan Sungai Rasau di Seksyen 16, Shah Aam juga mengalami banjir teruk

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melanda di sebahagian besar di negeri-negeri sehingga jam 9 malam ini.

Kawasan terlibat ialah seluruh Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Pokok Sena, Kota Setar, Pendang, Yan dan Kuala Muda), Perak (Kerian, Hulu Perak, Selama, Larut Matang, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar dan Perak Tengah) dan Kelantan (Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli).

Selain itu, Terengganu (Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) • Pahang (Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan, Maran, Temerloh, Bentong, Bera dan Lipis), Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selain itu, seluruh Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Segamat, Batu Pahat, Muar dan Tangkak), Sarawak: Limbang, Miri (Marudi, Beluru dan Telang Usan), Bintulu (Sebauh dan Tatau), Sibu, Sarikei, Kapit (Belaga), Serian (Tebedu), Kuching (Kuching dan Bau) dan Sabah dekat Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort, Membakut, Tambunan, Sipitang, Keningau dan Pensiangan), Pantai Barat (Papar, Ranau, Kota Belud dan Tuaran) dan Labuan.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here