MELAKA – Barisan Nasional (BN) Melaka tidak menjurus kepada mana-mana gabungan untuk menjadi rakan strategik dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata pengerusinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, sebarang kerjasama masih terbuka dan hasil rundingan akan melalui penelitian mendalam sebelum dibawa kepada kepimpinan tertinggi untuk diputuskan secara rasmi.
Menurutnya, keputusan berhubung bentuk kerjasama itu juga akan mengambil kira saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sama ada ianya lebih banyak membawa manfaat atau mudarat kepada parti.
“Jadi saya tak menjurus kepada mana-mana gabungan untuk menjadi rakan strategik, tapi akhirnya nanti menjurus kepada penilaian dan kajian yang mendalam, maka keputusan akan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
“Keputusan untuk perundingan ini akan kita persembahkan kepada saluran-saluran tertentu dalam urusan parti untuk dihadamkan dan diperincikan seperti saranan presiden,” katanya.
Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka di Seri Bendahara, Melaka malam tadi.
Diminta mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad bahawa PH tidak akan bersama dengan BN bagi menghadapi PRN kali ini, Ab Rauf berkata itu hak PH untuk menentukan pendirian mereka.
“Tapi kita menjalankan keterbukaan ini bagi meraikan demokrasi. Hak siapa-siapa nak bersama (atau) tak bersama. Kalau kita jemput dia tak nak datang, tak apa. Kalau jemput dia datang, kita berunding.
“Itu (kenyataan Khalid) saya tak ambil sebagai penanda araslah. Sebab yang penting keputusan Majlis Presiden dia (PH)…Kita tak nak hidung yang tak mancung, pipi saya tersorong-sorong, tak payah,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















