BALAKONG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong yang baharu dipilih, Wong Siew Ki berkata terdapat beberapa faktor yang menyebabkan majoriti di Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu rendah.
Menurut beliau, rata-rata rakyat sudah selesa dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu dan tidak akan ada perubahan drastik sekiranya mereka tidak turun mengundi.
“Salah satu mungkin adalah majoriti dalam PRU adalah terlalu tinggi dan ada banyak pengundi rasa tidak perlu turun mengundi, oleh kerana hujan dan sebagainya.
“Satu lagi adalah disebabkan oleh cuti panjang dan cuti perlepasan am, banyak pengundi yang sudah keluar bercuti.
“Mungkin juga selepas PRU, mereka rasa itu cukup sebab sudah undi dan ada juga yang tidak tahu mereka perlu keluar mengundi semalam,” katanya ketika membuat lawatan di Pasar Batu 11, Cheras hari ini.
Siew Ki menang di PRK Balakong menewaskan pencabarnya Tan Chee Teong dari parti MCA dengan majoriti sebanyak 18,533.
Beliau mendapat sebanyak 22,508 undi manakala Chee Teong hanya memperoleh sebanyak 3,975 undi.
Ditanya samada beliau kecewa dengan majoriti yang merosot, Siew Ki berkata, perkara itu tidak akan melemahkan semangatnya untuk berbakti kepada pengundi Balakong.
“Saya tidak kecewa tapi kita sudah cuba sedaya upaya dan kita berharap kalau ada PRK lagi, kita harap jumlah pengundi yang turun akan lebih lagi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















