KUALA LUMPUR – Kerajaan belum menentukan masa yang sesuai untuk memansuhkan Akta Hasutan sebagaimana yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mungkin tidak dapat memutuskan waktu sesuai bagi tujuan itu.

“Akta Hasutan ini masih ada (tetapi) untuk memansuhkan undang-undang itu memerlukan masa. Ia perlu melalui Parlimen, jadi pada masa sama mereka (polis) masih menerapkan undang-undang terhadapnya.

“Saya tidak mahu mengganggu perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis pelancaran buku bertajuk ‘Tun Ismail Ali Paragon of Trust and Integrity’ di Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Gabenor Bank Negara, Datuk Noor Shamsiah Yunos.

Dalam pada itu Dr Mahathir berkata, terdapat beberapa perkara membabitkan undang-undang sekiranya mahu memansuhkan akta berkenaan atau memindanya dan ia perlu melalui pejabat Peguam Negara sebelum undang-undang baharu dilaksanakan.

“Beberapa undang-undang akan dipinda dalam Perlembagaan dan kami memerlukan majoriti dua pertiga jika mahu melakukannya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast