Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) selepas 14 Januari lalu akan dikembalikan kepada penyumbang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, baki akhir tabung itu setakat 14 Januari lalu berjumlah RM202,716,775.10.

Katanya, Kementerian Kewangan dalam tindakan untuk membuat pelarasan penutupan akaun tersebut sebelum pengauditan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara.

Jumlah sumbangan ini akan digunakan untuk pembayaran hutang Kerajaan Persekutuan.

“Bagi memastikan pengurusan Tabung Harapan Malaysia (THM) dibuat secara teratur dan berintegriti, satu Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan memutuskan penggunaan wang THM mengikut tatacara yang termaktub di dalam Arahan Amanah Akaun THM (Trust Deed),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan mengucapkan penghargaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan kepada THM.

“Sumbangan mereka mencerminkan kesetiaan dan kasih sayang mereka terhadap tanahair yang dicintai. Selain itu, ia memberikan semangat kepada kerajaan untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah hutang yang diwarisi Kerajaan Persekutuan,” ujar Guan Eng. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast