Streram
Calon PH, Dr. S. Streram (tengah) bersalaman dengan sebahagian penduduk yang hadir pada Ceramah Umum PH sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Pasir Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 03 APRIL 2019.

SEREMBAN – Dr. S. Streram menganggap penduduk Rantau lebih mengenalinya secara bersemuka berbanding cubaan memperkenalkan diri menerusi penggantungan poster.

Malah calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berpendapat penduduk setempat lebih mengenalinya berbanding pencabar beliau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Saya rasa mungkin rakyat lebih kenal saya dari Tok Mad sebab dia banyak poster di merata tempat.

“Rakyat senang kenal saya dan berkata mereka suka bergaul dengan saya setiap masa,” katanya selepas menemui pengundi Kampung Pasir di Kuala Sawah di sini malam tadi.

Turut dihadiri Ketua Cabang PKR Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi.

Tambahnya, setakat ini jentera PH tidak berdepan masalah untuk menggerakkan kempen selain pemasangan poster dan sepanduk untuk merancakkan kempen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK di Rantau pada 13 April ini selepas Mahkamah Rayuan pada Februari lalu menolak rayuan penyandang DUN Rantau, Mohamad Hasan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding bekas Menteri Besar itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai tidak sah dan terbatal.

Keputusan itu menyusul selepas Streram yang juga bekas calon PRU14 untuk PKR dihalang masuk untuk mengemukakan pencalonannya kerana gagal mempamerkan pas calon pada hari penamaan calon 24 April 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast