Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Mohd Redzuan Md Yusof menafikan beliau akan merebut jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.

Redzuan yang juga Menteri Pembangunan Usahawan berkata, dakwaan itu hanyalah khabar angin dan beliau selesa dengan jawatan MPT Bersatu.

“Khabar angin itu tidak benar, ada deklarasi bahawa tiada pertandingan bagi jawatan presiden. Ada banyak orang yang berspekulasi sama ada saya harus bertanding atau tidak,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini ada dakwaan bahawa Ahli Parlimen Alor Gajah itu ‘dilatih’ oleh kepimpinan tertinggi Bersatu bagi menggantikan Muhyiddin Yassin di peringkat presiden.

Dalam pada itu, Redzuan yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkata beliau kini fokus kepada mandat yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Bersatu.

“Dalam Perlembagaan parti, saya dengan senang hati akan terus menjadi ahli MPT.

“Saya kini fokus kepada usaha untuk mencapai apa yang perlu dilakukan seperti yang diamanatkan oleh PM,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast